Umum mengetahui baru-baru ini dunia dikejutkan dengan berita pemergian Sheikh Saleh Al-Shaibi yang merupakan Ketua Pemegang Kunci Kaabah sejak 2013. Tapi tahukah anda bagaimana cara sebenarnya pemilihan individu yang memegang dan menjaga kunci Kaabah? Adakah perlu dalami ilmu agama yang tinggi? Ataupun perlu menjadi seseorang yang sering beribadat? Jom kita semak mengenainya.
Sejarah Pemegang Kunci Kaabah

Menurut sejarah, usaha dalam menjaga Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS ini telah diturunkan kepada anaknya Nabi Ismail AS. Namun, selepas kewafatan Nabi Ismail AS, Bani Jarhma dan Bani Khuzaah telah pun mengambil alih tanggungjawab tersebut.
Kemudian, kedua bani ini bersetuju untuk mengambil Qusai Bin Kilab Bin Murrah sebagai pemegang kunci Kaabah. Untuk pengetahuan, Qusai merupakan keturunan Nabi Ismail AS dan juga moyang kepada Rasulullah SAW.
Qusai mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Abd al-Dar, Abd Uzza dan Abd Manaf. Sebelum Qusai meninggal dunia, beliau telah menyerahkan kuasa dan hak penjagaan kunci Kaabah kepada anaknya yang paling tua, Abd al-Dar. Oleh itu, tugas menjaga kunci itu telah menjadi turun temurun hingga kepada Uthman bin Talha yang hidup pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Pada tahun ke 8 Hijrah, berlakunya Pembukaan Kota Mekah oleh umat Islam. Disebabkan masih belum memeluk Islam, Uthman bertindak menyembunyikan diri dari umat Islam. Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW meminta Saidina Ali mencari Uthman untuk mendapatkan kunci tersebut kerana Baginda ingin solat di dalam Kaabah.
Seusai Nabi Muhammad SAW menunaikan solat sunat 2 rakaat, maka turunlah ayat;
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).
An-Nisaa : 58
Maka Rasulullah SAW mengarahkan Saidina Ali untuk memulangkan semula kunci kepada Uthman. Apabila Ali menerangkan tentang ayat tersebut kepada Uthman, Uthman terus memeluk Islam dan keturunannya masih lagi menjadi pemegang kunci Kaabah hingga ke hari ini.
Maka demikian merupakan sedikit sebanyak sejarah mengenai pemegang kunci Kaabah ini. Untuk lebih banyak informasi dan tips yang menarik, jangan lupa untuk lawati website rasmi Al Ridzuan Travel & Tours.
Follow juga akaun media rasmi kami di Facebook, Instagram dan TikTok.
Al Ridzuan Di Hati, Kembara Syariah Masa Kini