Siapa Bina Kaabah? Ini Adalah Ringkasan Sejarah Mengenainya

Seperti kita tahu, Kaabah merupakan binaan yang menjadi pusat Kiblat buat semua umat Islam dalam beribadat kepada Allah SWT. Dalam Surah Ali Imran, Allah SWT berfirman;

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

 Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Surah Ali Imran: 96

Tapi pernahkah kita terfikir siapakah yang sebenarnya yang membina Kaabah ini? Menurut petikan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat 4 peringkat pembinaan Kaabah.

4 Peringkat Binaan Kaabah

siapa-bina-kaabah-ini-adalah-ringkasan-sejarah-mengenainya

Pertama : Binaan Malaikat

Riwayat Abu al-Walid al Azraqi mengatakan bahawa Kaabah ialah buih yang terapung di atas air selama empat puluh tahun sebelum Allah SWT menjadikan langit dan bumi. Al-Azraqi meriwayatkan kepada Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-Husain, beliau berkata bahawa Allah SWT berfirman kepada malaikat;

Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi.” Kemudian para malaikat bertanya: “Adakah Tuhan kami hendak menjadikan di bumi orang yang akan melakukan kerosakan?

Oleh kerana takut dengan Allah SWT, para malaikat kemudian bertawaf di sekililing Arasy untuk memohon ampun kepadaNya. Allah kemudian membina sebuah rumah dikenali Bait al-Ma’mur dan meminta para malaikat untuk berpindah dan bertawaf di rumah itu. Malah, Dia mengutuskan para malaikat untuk membina Baitullah di bumi bagi makhluk di bumi bertawaf kepadaNya.

siapa-bina-kaabah-ini-adalah-ringkasan-sejarah-mengenainya

Kedua: Binaan Nabi Adam AS

Al-Azraqi juga meriwayatkan daripada Ibn Abbas, beliau mengatakan bahawa Allah SWT meminta Nabi Adam AS untuk membina Kaabah dan mengelilinginya sepertimana yang dilakukan malaikat yang bertawaf pada Arasy.

Baginda telah berkata: “Wahai Tuhan, mengapa aku tidak mendengar lagi suara malaikat?” Allah SWT berfirman: “Semuanya kerana kesalahan engkau wahai Adam.”

Setibanya Nabi Adam AS di Makkah, malaikat Jibril memukul dengan sayapnya di tapak Kaabah dan membawa batu padanya untuk membina Kaabah. Bahan binaan terdiri daripada batu yang diambil dari 5 gunung iaitu Gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Juudi dan Hira’. Manakala konkritnya diperbuat daripada batu pejal hitam.

siapa-bina-kaabah-ini-adalah-ringkasan-sejarah-mengenainya

Ketiga: Binaan Shith Bin Adam

Al-Azraqi juga telah meriwayatkan daripada Wahab bin Munabbih bahawa binaan ketiga adalah daripada Shith bin Adam selepas hilangnya kesan binaan Nabi Adam AS. Riwayat Al-Azraqi menceritakan bahawa generasi anak-anak Nabi Adam AS telah memakmurkan kawasan itu sebelum ia musnah akibat banjir besar yang berlaku pada zaman Nabi Nuh AS.

Namun, tiada sebarang dalil yang sahih mengenai ketiga-tiga peringkat binaan Kaabah ini. Syeikh Husain Ba Salamah mengatakan terdapat beberapa riwayat daripada sahabat dan tabiin mengenai binaan Kaabah itu. Banyak riwayat yang menyebut mengenai peristiwa tersebut namun tidak menyatakan sumber sama ada daripada Nabi Muhammad SAW atau ahli kitab Bani Israil.

siapa-bina-kaabah-ini-adalah-ringkasan-sejarah-mengenainya

Keempat : Binaan Nabi Ibrahim AS

Binaan yang terakhir ini diceritakan dalam Al-Quran, pada Surah Al-Baqarah:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui

Surah Al-Baqarah: 127

Nabi Ibrahim telah menerima perintah oleh Allah SWT untuk membina Kaabah lalu segera menemui anaknya, Nabi Ismail yang sedang berehat berdekatan telaga zam-zam. Lalu baginda berkata anaknya;

 Baginda berkata kepada Ismail: “Wahai Ismail! Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkanku supaya membina Kaabah.” Ismail menjawab: “Taatlah perintah Allah itu.” Lalu bapanya berkata lagi: “Allah juga memerintahkan agar engkau membantuku dalam pembinaan ini.” Ismail berkata: “Di manakah tempatnya?” Nabi Ibrahim AS menunjukkan tempat yang telah ditunjukkan kepadanya oleh malaikat yang mengiringinya.

Dalam bahasa mudah, Nabi Ibrahim AS hanya mengulangi pembinaan pada tapak yang telah sedia ada. Justeru, para ulama tidak menafikan bahawa berlaku binaan Kaabah sebelum daripada itu.

Nak tahu lebih info menarik? Jom lawat website rasmi Al Ridzuan Travel & Tours dan follow akaun social media rasmi kami di FacebookInstagram dan TikTok.

Mini Zamri

Writer & Blogger

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *